Friday, January 14, 2005

Kohilal oh Kohilal

Kohilal disiasat atas dakwaan penyelewengan pengurusan Arfa’eza A AzizJan 12, 05 3:31pm Koperasi Al-Hilal Bhd atau Kohilal yang mempunyai kaitan dengan parti PAS, sedang disiasat oleh Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atas dakwaan berlakunya penyelewangan pengurusan. Bendahari Kohilal, Mohd Kusrin Rahmad berkata siasatanitu dimulakan selepas aduan ahli-ahli koperasi itu berhubung skim-skim pelaburan berjumlah berjuta-juta ringgit yang diperkenalkan di antara tahun 1996 dan 1999. “Siasatan bermula pada tahun 2001. Apabila saya dilantik menganggotai Lembaga Pengarah yang baru pada bulan Jun 2002, (pegawai penyiasat) meminta untuk melihat beberapa dokumen dan kami memberi kerjasama sepenuhnya, dan menunjukkan kepada mereaka semua dokumen-dokumen tersebut. “Saya difahamkan, kenyataan ahli-ahli lembaga pengarah terdahulu, telah diambil oleh pihak berkuasa, tetapi sehingga hari ini, kami tidak tahu kedudukan siasatan tersebut,” katanya ketika diwawancara di ibu pejabat Kohilal di Kuala Lumpur. Katanya, ahli Lembaga Pengarah sekarang – yang mengambil alih pengurusan selepas Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Hassan Shukri meletakkan jawatan – tidak terbabit dalam siasatan itu kerana mereka tidak tahu apa-apa mengenai skim pelaburan tersebut. Hadir sama sewaktu wawancara tersebut ialah dua pengarah Kohilal – Razali Mohd Daud dan Md Shukor Aziz. Kusrin berkata, pihaknya menyedari ramai ahli yang tidak berpuashati dengan pengurusan skim-skim pelaburan tersebut tetapi katanya, tiada apa yang boleh dibuat sehinggalah pihak berkuasa menyiapkan siasatan mereka. “Perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat koperasi dan kami tahu ianya dibangkitkan juga dalam pelbagai mesyuarat dan persidangan parti. Kami tahu ramai ahli tidak puas hati, mereka mendakwa berlaku salah pengurusan, dan malah sesetengahnya mendakwa berlaku penyelewengan. Tetapi kita tidak boleh menuding jari pada siapa pun,” tambahnya. Md Shukor mencelah sambil berkata itulah sebabnya mengapa pihak berkuasa diharap dapat menyelesaikan siasatannya secepat mungkin.

“Jika ada keputusan siasatan tersebut, maka kami boleh mengambil tindakan selanjutnya. Sehingga itu, kami tidak boleh berbuat apa-apa, kecuali menunggu,” tambahnya. Wang tidak dipulangkanDitanya sama ada ahli-ahli yang tidak berpuas hati itu, boleh mendapatkan balik pelaburan mereka, Kusrin berkata ianya tidak mungkin kerana wang tersebut telahpun digunakan untuk melancarkan beberapa skim pelaburan yang tidak menguntungkan. Menjelaskan mengenai skim pelaburan yang gagal itu, Md Shukor berkata skim-skim tersebut tidak diuruskan secara langsung oleh pihak koperasi tetapi dikendalikan oleh anak syarikatnya yang kini sudah ditutup, Kohilal Holdings Sdn Bhd (KHSB) di antara tahun 1996 dan 1999. “Skim-skim Pelaburan Islam itu atau mudharabah diperkenalkan oleh KHSB. Oleh kerana anak syarikat tidak dibenarkan mengutip pelaburan dari ahli-ahli koperasi, maka lembaga pengarah telah mengadakan usaha niaga dengan KHSB dan seterusnya mempelawa ahli-ahl melabur melalui Kohilal. “Mereka (ahli lembaga pengarah lama) mengarahkan supaya dana tersebut dipindahkan kepada KHSB untuk mengendalikan pelaburan tersebut,” katanya.

Mengikutnya, ia membabitkan sejumlah RM46.5 juta. Daripada jumlah itu, RM8.9 juta dilaburkan dalam ladang burung unta, RM8.9 juta digunakan untuk membeli saham Penerbangan Malaysia (MAS) manakala RM9 juta dan RM16.2 juta lagi masing-masing dilaburkan dalam sektor pertanian di Indonesia dan Perdana Teknologi Venture. “Bakinya dilaburkan dalam 24 anak syarikat KHSB, termasuk Ummah Asset Management yang disiasat oleh SC kerana mengumpul data secara tidak sah daripada ahli-ahli koperasi,” kata Md Shukor. Pada mulanya, kata beliau, koperasi itu mencatatkan kemajuan yang menggalakkan memandangkan dividen 10-15 peratus dibayar kepada ahli setiap tiga bulan, sehinggalah krisis kewangan melanda negara-negara Asean pada tahun 1997. “Selepas itu, para ahli mula bertanya di mana keuntungannya, apa yang telah terjadi kepada pelaburan tersebut....dan dari situlah mula timbulnya masalah. Mereka juga mula mempertikaikan proses membuat keputusan berhubung pelaburan tersebut,” tambahnya. Ditanya sama ada kajian dibuat mengenai daya untung projek-projek pelaburan oleh KHSB itu, Md Shukor berkata, beliau tidak tahu apa-apa mengenainya, tetapi menegaskan beliau tidak menemui apa-apa dokumen mengenainya.

Satu sumber Kohilal mendedahkan bahawa tiada sebarang kajian dibuat kerana KHSB juga diuruskan oleh orang yang sama, yang menganggotai lembaga pengarah Kohilal. “Tiada ‘semak dan imbang’ kerana ia membabitkan orang yang sama. Inilah yang membuat ahli-ahli menjadi marah. Pihak pengurusan tidak mengendahkan langsung etika kerana mahu mendapatkan berjuta-juta ringgit. “Mereka bertindak tanpa memikirkan bahawa sesetengah daripada kami telah mengeluarkan wang simpanan yang dikumpulkan begitu lama, untuk melabur dalam Kohilal. Kini semua wang kami sudah hilang,” katanya. Akui kesilapan Merujuk kapada Laporan Tahunan Kohilal bagi tahun 2003 yang diperolehi oleh malaysiakini, sumber itu berkata, ahli-ahli tahu bahawa pihak pengurusan sekarang tidak terbabit dalam perkara tersebut. Katanya, pihak pengurusan sebelum ini sepatutnya mengaku kesilapan mereka, tetapi mereka sebaliknya meletakkan jawatan dan enggan mengaku kesilapan mereka. “Ini bukanlah jenis pemimpin yang kita perlu hormati,” tambahnya.

Sementara itu, Kusrin, Md Shukor dan Razali melahirkan harapan agar kesemua 19,000 ahli-ahli akan membantu pihak pengurusan sekarang untuk memajukan lagi koperasi tersebut, dan tidak lagi ‘mengungkit perkara-perkara lalu”. “Bantulah kami meningkatkan lagi mutu atau produk kita, dan dalam melaksanakan rancangan-rancangan perniagaan kami. Kami juga sedang mengkaji projek lima tahun untuk mengumpul dana RM50 juta melalui pelbagai aktiviti perniagaan yang telah kami rancangkan, termasuk usahaniga dengan Maktab Kerjasama Malaysia. “Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh ahli-ahli. Kami tahu sesetengah daripada mereka kehilangan wang simpanan, tetapi jika kita lebih memfokuskan kepada masa depan, dan apa yang sudah berlalu, mungkin kita akan mendapat faedah yang lebih besar lagi,” kata mereka.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home