Wednesday, December 29, 2004

Tsunami Appeal

Saya baru mendapat maklumat lanjut daripada Malaysia dan ana rasa ada baiknya untuk saya kongsi bersama. Pulau Pinang merupakan salah satu tempat di mana tsunami yang melanda Malaysia memberi impak yang teruk. Ramai yang mati, terutama mereka yang sedang berkelah di tepi pantai. Tidak sedikit juga daripada mereka yang mati ini sebenarnya berasal daripada luar Pulau Pinang - mereka ke Pulau Pinang untuk bercuti (sekarang cuti sekolah). Keadaan sebenarnya lebih teruk di Kedah. Salah satu kampung di Kuala Muda telah ranap seluruhnya sehingga lebih 4660 orang kampung hilang tempat tinggal dan mata pencarian. Salah seorang pemimpin masyarakat yang saya hubungi berkata bahawa beliau telah tidak pulang ke rumah sejak hari pertama tsunami melanda kerana melawat tenpat kejadian. Begitu teruknya situasi di beberapa tempat di Kedah sehingga beliau berkata "Orang yang mati akan dikembalikan ke bumi. Tapi yang masih hidup lebih teruk kerana mereka tak ada langsung tempat untuk pulang. Rumah terus ranap. Kampung terus ranap semuanya." Cuba bayangkan.... Rumah tak ada. Pakaian "spare" tak ada. Duit nak beli makanan tak ada. Nak beli nasi tak ada duit. Nak pergi ke rumah saudara di tempat lain pun tak ada duit. Nak tukar baju tak boleh sebab baju yang tinggal hanyalah yang dipakai sekarang. Nak tidur pun terpaksa berkongsi bilik darjah di sekolah-sekolah dengan orang yang kita tak kenal. Isteri, anak pinak, emak, kakak dan saudara-saudara perempuan tak ada pakaian yang lengkap nak tutup aurat dengan baik sebab dan terpaksa berkongsi bilik dengan orang yang tak dikenali. Adik, abang, emak yang dah tua dan bapa yang dah tak larat terpaksa mengemis merayu minta makan tengah hari. Apa yang akan mereka buat? Bagaimana mereka akan membina kembali kehidupan dalam keadaan sedemikian? Rumah, pakaian, makan-minum, kenderaan, semuanya mengharap belas kasihan kita kerana semuanya hilang serta merta ! Kita wajib memberi bantuan. Di negeri-negeri lain juga berlaku kerosakan tetapi tidak terlalu teruk. Insha-Allah saya akan memberikan updates sekiranya ada lagi. Semua mereka amat memerlukan bantuan. Hulurkan sumbangan anda sebanyak yang mungkin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home